Tuesday, January 31, 2012

Izinkan Hati Ini Kembali PadaMu





Pasti hati setiap daripada kita akan sebak sebaik sahaja memikirkan segala dosa yang pernah kita lakukan. MashaAllah. Begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allahu rabbi. Masihkah ada pengampunan dariNya.


Sahabat-sahabat yg ku sayangi. Setiap daripada kita dilahirkan dalam keadaan, situasi dan fikrah keluarga yang berbeza-beza. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang hidup seperti zaman jahiliyah. Ada yang miskin, kaya dan sebagainya. Namun jangan pernah perlekehkan semua ini kerana ia adalah ketetapan dariNya. Maka jangan lupa panjatkan syukur padaNya, terutama bagi kita yang automatik menjadi umat Islam sejak dilahirkan..


Alhamdulillah. Allah sayangkan kita. Allah sentiasa bagi peluang untuk kita bertaubat. Walau dosa yang telah kita lakukan itu tinggi menggunung mencecah langit sekalipun, sekiranya kita bertaubat dan menyesali perbuatan kita itu dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah akan diterima olehNya kerana Allah itu Maha Pengampun. Jadi sahabat-sahabat yang ku kasihi, jika anda selama ini hidup dalam kejahilan dan ingin kembali ke jalan yang diredhaiNya, maka teruskanlah langkahmu. Jangan pernah menolak panggilan dari Ilahi ini, capailah hidayah dariNya ini. Kerana sekali engkau menolak, mungkin sukar untuk engkau mendapatnya kembali.


Sedarlah sahabat. Bukan kita yang memilih untuk hidup dalam latar belakang keluarga yang macam mana. Jadi pada sahabat-sahabat yang sudah tersedia hidupnya dalam latar keluarga yang berfikrah Islam, bersyukurlah. Anda sangat bertuah kerana ramai sahabat-sahabat kita yang perlu meraba-raba mencari cahaya. Sangat sukar dan perit ya sahabat. Bukan perkara yang mudah untuk mengubah diri, tambahan pula jika keadaan keluarga yang hidup dalam kejahilan.

Ana sedih apabila melihat sahabat-sahabat yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan. Didikan dari keluarga itu sudah ada, belajar di sekolah agama dan sebagainya. Akan tetapi, masih ramai juga yang dari menutup aurat bertukar menjadi menutup rambut. Kenapa perlu berhijrah dari bertudung labuh ke tudung biasa? Ana bukan ingin menyalahkan sesiapa, tapi ana sedih kerana kita diberi kesempatan dan peluang tapi ibarat mensia-siakannya.


Sedangkan sahabat-sahabat kita yang baru diketuk pintu hatinya dengan hidayah dari Allah seringkali menitiskan air mata, betapa cemburunya dengan mereka yang berfikrah itu. Betapa bersyukur saat mengenakan tudung yang labuh, walaupun tudung yang labuh itu tidak dapat menutup dosa-dosa yang dilakukan itu. Kadangkala di salah sangka oleh masyarakat sekeliling dek kerana hijrah yang dilakukan itu seperti terlalu ketara. Sedangkan diri hanya inginkan perubahan, inginkan pengampunan dariNya. Kenapa mesti dicerca, dicemuh, disindir. Ada juga yang apabila kelemahannya terpancar, lalu terus dihukum "selama ini tersilap menilai dirinya". Tambahan pula jika diketahui masa lalunya adalah kurang bernasib baik, jahil. "Patutlah, memang dulu dia jahil pun. Sekarang je pakai tudung labuh." Astaghfirullah. Kepada yang pernah berbuat demikian, letakkan diri anda di tempat mereka. Mungkin anda tidak faham kerana anda tidak pernah merasainya. Tahukah sahabat, dengan hanya mengenangkan perkara ini, mereka kembali menitiskan air mata. Betapa kuatnya hati meronta-ronta agar diputarkan balik masa. Ingin bersihkan jiwa dari segala noda kerana khuatir tiada pengampunan dariNya.


Namun, walau apa jua keadaan sekalipun, marilah sama-sama kita kembali mendekatkan diri padaNya. Marilah kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi Allah, walaupun bukanlah yang terbaik dalam kalangan manusia. Manusia ini memang tidak akan pernah sempurna. Kerana sesungguhnya kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.


Semoga Allah menerima taubat kita. Jangan pernah merendah-rendahkan sahabat yang lain. Astaghfirullah. Istighfar ya sahabat-sahabat. Istighfar. Semoga hati kita bersih dari sifat riak dan takabbur ini. Semoga husnudzon yang sentiasa menjadi pilihan kita. Semoga Allah izinkan hati kita untuk kembali padaNya.
wallahua'lam


p/s: peringatan utk diri sendiri jgak. Moga sahabat mendapat manfaat. Banyakkan berdoa ke hadrat Ilahi semoga kita sentiasa mendapat hidayah-Nya.


credit to:

Amira Fatiha binti Baharudin  di http://uniqueummah.blogspot.com.

Tuesday, January 10, 2012

Muslimahku sayang…

Bismillahirahmanirrahim~
Assalamualaikum kepada semua…

Muslimah,
Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau menyerah ingin menyerah diri pada sang kumbang??

Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Muslimah,
Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tanggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sembarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak lagi dimahkotakan si mawar berduri.


Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada mengatakan tentang bahaya dirimu.
“Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita.” 
Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka??

Ingatlah duhai muslimah sayang,
Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan-urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.


Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjang ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insan oleh bernama Adam.

“Dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik,dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik (pula)..”
(Surah al-Nur : ayat 26)



p/s: pesanan utk diri sendiri dan rakan-rakan seperjuangan. Jom tengok video nie....


Video Pesanan Rasulullah buatmu Wanita




Sunday, January 8, 2012

Wahai Wanita Tidak Bertudung, Bertudung, Bertudung Labuh, Bertaqwa Dan SOLEHAH....

Ayuh kita fikirkan sejenak……

Wahai wanita tidak Bertudung...
Sungguh cantik alunan rambut mu,
Bebas menggerbang kemas terikat,
Terserlah di bawah cahaya mentari,
Mentari dunia yang tak sehebat NERAKA,
Iaitu api yang akan membakar rambut mu, di hari akhirat hari penentu,
maka hanguslah segalanya, hilanglah cantik alun rambut mu, tiada lagi yang menggerbang,
tiada lagi yang terserlah.
Oleh itu jadikanlah diri mu, Sebahagian daripada wanita-wanita yang bertudung.

Wahai wanita yang bertudung,
Sungguh cantik alas kepala mu,
Ringkas pendek tersempang rapi,
Tersembul jambul tertutup dahi,
Terserlah lah bentuk tubuh,
Mengapa tidak dilindungi?
Rimaskah dengan tudung labuh ke dada?
Panaskah dengan pakaian sedemikian rupa?
Tidakkah kau ingat,
Kepanasan api neraka itu lagi hebat membakar,
Menjilat rentung kesemua mereka yang ingkar,
Mereka itu wanita yang tak bertudung,
Kau tidak ubah seperti mereka walau bertudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu, Sebahagian daripada mereka yang bertudung, Bertudung labuh hingga ke paras dada.

Wahai wanita bertudung labuh,
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu, sebahagian daripada mereka yang bertudung, bertudung labuh hingga ke paras dada, tersemat jua bersamanya rasa taqwa..

Wahai wanita yang bertaqwa,
Andai kau telah sampai ke tahap ini,
Dengan akhlak mahmudah terpahat di hati,
Syariat islam sebati dalam diri,
Maka layaklah dikau mendapat ganjaranNya,
Yang dijanjikan di akhirat nanti,
Dan tatkala di dunia ini lagi,
Muslimah solehah kau digelari,
Menjadi idaman setiap muslim soleh, Yang sukar sekali untuk diperoleh..

Wahai muslimah solehah pula,
Jadilah mukminah mujahidah,
Mujahidah yang akan menyeru,
Agar ditinggalkan dirinya yang dahulu,
Mujahidah yang akan berdakwah,
Agar diri dan umat berubah,
Mujahidah yang akan mengajak, Agar islam kembali tertegak.

Dengarlah wahai wanita.. Sahutlah seruan ini....



p/s: peringatan buat diri sendiri jugak..hehe

AKU HANYA WANITA BIASA


Bismillahirrahmanirrahim~
Assalamualaikum semua…





Kepadamu yang akan menjadi pendampingku kelak…

Terima kasih kerana telah memilihku diantara ribuan bidadari di luar sana yang siap untuk kamu pilih. Padahal kamu begitu tahu, aku hanya wanita biasa, yang sangat jauh dari sempurna. Kerananya ku ingin kamu tahu, aku bukan wanita yang sempurna, aku begitu banyak kekurangan. Maka ketahuilah…

Kepadamu yang akan memilihku kelak.. 

Aku tak sebijak Siti khadijah, kerananya ku ingin kamu tahu, aku akan saja  berbuat salah dan begitu menyedihkan. Maka ku mohon padamu, bijaklah dalam menghadapiku, jangan marah padaku, nasihati aku dengan hikmah, kerana bagiku kamulah pemimpinku, tak akan berani ku membangkang padamu… 

Duhai kau yang akan memilihku kelak…

Ingatlah, tak selamanya aku akan cantik di matamu, ada kalanya aku akan begitu kusam dan hodoh. Mungkin kerana aku begitu sibuk di dapur, menyiapkan makan untuk kamu dan anak-anak kita nanti –Insya’Allah-. Maka aku akan tampak kotor dan berbau asap. Atau kerana seharian ku harus menguruskan istana kecil kita, agar kamu dan anak kita dapat tinggal dengan nyaman dan damai. Maka mungkin aku tak sempat berdandan untuk menyambutmu ketika pulang dari bekerja.. Ataukah kamu akan menemukanku tersengguk-sengguk saat mendengar keluhan dan ceritamu, bukan kerana aku tak suka menjadi tempatmu menumpahkan segala rasamu, tapi kerana semalam saat kau tertidur dengan nyenyak, aku tak sedetikpun tertidur karena harus menjaga anak  kecil kita yang sedang sakit, dan ku tahu kamu letih mencari rezeki untuk kami maka tak ingin ku mengusik sedikit pun lelapmu.. Jadi jika esok pagi kau mendapatiku begitu letih dan ada lingkaran hitam di mataku, maka tetaplah tersenyum padaku, kerana kau adalah kekuatanku…

Padamu yang menjadi nahkoda dalam hidupku kelak…

Ketahuilah, aku tak sesabar  Fatimah, ada kalanya kau akan menemukanku begitu marah, menangis, bukan kerana ku membangkang padamu, tapi aku hanya wanita biasa, aku juga perlu tempat untuk menumpahkan beban di hatiku, tempat untuk melepaskan penatku, dan mungkin saat itu aku tak menemukanmu, atau kau begitu sibuk dengan pekerjaanmu, maka bersabarlah, yang ku perlukan hanya pelukan dan belaianmu. Kerana bagiku kau adalah titisan embun yang mampu memadamkan segala resahku…

Ataukah ada kalanya tanganku akan mencubit dan memukul penuh kasih sayang si kecil kerana lelah dan penatku ditambah rengekannya yang tak habis-habisnya. Sungguh bukan kerana ku ingin menyakitinya, tapi kadang aku kehabisan cara untuk menenangkan hatinya. Maka jangan memarahiku kerana telah menyakiti buah hati kita, tapi cukup kau usap kepalaku, dan bisikkan kata sayang di telingaku, kerana dengan itu ku tau kamu selalu menghargai semua yang ku lakukan untuk kalian, dan kamu akan menemukanku menangis menyesali perlakuanku pada anak kita, dan aku akan merasakan ribuan kali rasa sakit dari cubitan yang ku berikan padanya, dan aku akan berjanji tak akan mengulanginya lagi…

Padamu yang menjadi imam dalam hidupku kelak.. 

Ketahuilah, aku tak secerdas Aisyah. Maka jangan pernah bosan mengajariku, membimbingku ke arah-Nya, walau kadang aku begitu bebal dan bodoh, tapi jangan pernah letih mengajariku. Jangan segan membangunkanku di sepertiga malam untuk bersamamu bermunajat pada Kekasih yang Maha Kasih. Jangan letih mengingatkanku untuk terus bersamamu mendulang pahala dalam amalan-amalan sunnah. Bimbing tanganku ke Jannah-Nya, agar kamu dan aku tetap bersatu di dalamnya… 

Padamu yang menjadi kekasih hati dan teman dalam hidupku…

Seiring berjalannya waktu, kamu akan menemukan rambutku yang dulu hitam legam dan indah, akan menipis dan memutih. Kulitku yang bersih akan mulai kereput. Tanganku yang halus akan menjadi kasar. Dan kau tak akan menemukanku sebagai wanita cantik, yang kau khitbah puluhan tahun yang lalu. Bukan wanita muda yang selalu menyenangkan matamu. Maka jangan pernah berpaling dariku. Kerana satu yang tak pernah berubah, bahkan sejak dulu akan terus bertambah dan kian bertambah, iaitu rasa cintaku padamu… 

Ketahuilah…
Tiap harinya, tiap jam, minit dan detiknya, telah aku lewati dengan selalu jatuh cinta padamu. Maka, cintailah aku, dengan apa adanya aku. Jangan berharap aku menjadi wanita sempurna. Maafkan aku kerana aku bukan puteri. Aku hanya wanita biasa…



SELAMAT TAHUN BARU 2012

Bismillahirahmanirrahim~



Assalamualaikum kepada semua…

Dah lama rasanya tak post entry kat blog. =) Cuti sebulan lebih nie memang seronok sangat. Apa taknya, duduk rumah kan…hehe.. Masa cuti hari tu, ada juga la kemaskini hardisk and benda-benda dalam laptop. Masa tengah-tengah kemaskini tu, ada jumpa macam-macam artikel, video and so on la.. Miss Zaty nie memang tersangat la suka save macam-macam artikel dan video. Bukan apa, nanti kalau nak tengok balik, kan senang, tak ada la susah nak buka balik laman web tu. Lagi satu, sebab kadang-kadang tu tak sempat nak baca sampai habis, so, sebab tu save dulu untuk baca lain kali. Hehe…

Sempena tahun baru nie, teringin la juga nak ucapkan “SELAMAT TAHUN BARU” buat semua. Moga tahun ini akan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah, doa-doa la ye… hehe..

Bermula tahun baru, bermakna bertambahlah umur kita. Bertambahnya umur bermakna kita sudah semakin dewasa untuk menjalani hidup sebagai khalifah Allah s.w.t. Seperti biasa, bila tiba tahun baru, ramai yang buat azam baru. Alhamdulillah, setiap tahun pasti ada azam baru yang kita ingin capai. insyaAllah, moga-moga azam tahun nie juga akan tercapai. (Azam yang baik je taw..hehe)

Bila sudah berazam, eloklah sekiranya kita berusaha untuk memenuhi azam tersebut di samping berdoa dan bertawakal. Banyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah semoga azam kita pada tahun ini akan tercapai.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai orang-orang yang terus-menerus berdoa.”

(Hadis Riwayat Al-Auza’i)