Tuesday, February 28, 2012

Pengalaman Mula Memakai Tudung Labuh


Alhamdulillah, dengan izin yang maha Esa, saya mengenakan tudung labuh dan sedang berusaha untuk terus mengenakan tudung labuh. “Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu di atas nikmat-Mu ini”. Saya seorang yang biasa-biasa sahaja. Namun, Alhamdulillah saya masih mengenakan tudung yang menutupi dada. Ibu saya sangat sayangkan anaknya ini dan sentiasa menasihati saya supaya mengenakan tudung. Saya mula bertudung semasa berusia 12 tahun. 
Sebelum itu, saya hanya mengenakan tudung di sekolah. Apabila berada di luar kawasan sekolah, tudung melayang dan kadang-kala on-off. Beberapa saudara menegur supaya saya memakai tudung dan menutup aurat. Namun, saya tetap berdegil. Saya lebih selesa mengenakan seluar atau skirt. Saya buat tidak endah dengan teguran tersebut.
Apabila saya berusia 12 tahun, barulah saya mengenakan tudung dan memakai pakaian yang menutup aurat. Pada masa itu, saya masih belum mengetahui tentang kepentingan bertudung. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk mencari sebab mengapa wanita perlu bertudung. Mungkin ketika itu, saya masih kecil dan belum baligh.
Pada hari pertama saya berada di tingkatan satu, saya mengenakan tudung yang agak labuh menutupi dada. Apabila saya ke sekolah, saya lihat ada rakan-rakan yang mengenakan tudung sekolah yang agak pendek. Pada mulanya saya tidak kisah dengan situasi tersebut. Lama-kelamaan, dalam hati saya terdetik untuk mencuba. Kebiasaan remaja seperti saya ketika itu, sifat ingin meniru dan mencuba sesuatu yang baharu. 
Selain itu, saya juga bersekolah di sekolah harian biasa, jadi saiz tudung tidak menjadi masalah. Selagi pelajar memakai tudung, itu sudah memadai. Saya sanggup memotong tudung yang ibu berikan kepada saya. Tudung tersebut dipotong hingga menjadi pendek sehingga mencecah bahu di bahagian sisi. Manakala pada bahagian hadapan, tudung tersebut menjadi tiga segi dan bukan berbentuk bulat seperti tudung yang saya pakai sebelum ini. Walaupun ia masih menutup dada jika dipandang dari arah hadapan, namun ia bukanlah menutup dada dengan sempurna iaitu hanya beberapa inci ke bawah dari paras dada. Apabila saya memakai tudung tersebut, saya berasa gembira kerana saya telah dapat mengikuti trend yang biasa saya lihat di sekolah saya.
Apabila saya berada di luar sekolah, saya mengenakan tudung bawal biasa yang bersaiz bidang 45. Namun, saya masih mengenakan gaya “butterfly” atau disebut sebagai silang yang mengenakan pin di kiri dan kanan bahu dan menutup dada. Setelah menginjak ke usia 17 tahun, kami agak sibuk dengan kelas tambahan di luar waktu sekolah. Oleh itu, pelbagai trend tudung yang dapat dilihat. 
Saya melihat gaya rakan-rakan memakai tudung silang yang menampakkan sebahagian dada, melilitkan tudung dan sebagainya. Sifat ingin mencuba yang tinggi telah menyebabkan saya meniru gaya-gaya tersebut. Saya belajar bermacam-macam gaya pemakaian tudung melalui pemerhatian dan bertanya rakan-rakan mengenainya. Saya berasa seronok kerana saya tidak mahu dianggap kolot oleh rakan-rakan lain. 
Namun, ada juga rakan saya yang masih istiqamah dengan memakai tudung yang agak labuh. Akan tetapi, saya tidak begitu tertarik dengan mereka. Semasa zaman sekolah juga, saya amat gemar memakai seluar dan t-shirt apabila keluar dari rumah. Pemakaian seperti baju kurung hanya dipakai semasa hari perayaan, kenduri atau majlis-majlis tertentu sahaja. Saya lebih selesa dengan pemakaian yang saya pakai berbanding mengenakan baju kurung.
Namun, apabila saya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia, saya dipaksa untuk memakai pakaian formal dan sopan kerana peraturan yang agak ketat. Saya mula memaksa diri untuk memakai baju kurung. Kebanyakan baju kurung yang saya ada sudah tidak padan lagi dengan saya kerana faktor ketinggian saya. Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana ibu saya pandai menjahit. Oleh itu, saya memakai baju kurung yang dijahit oleh ibu untuk ke kuliah. Namun demikian, apabila saya pulang ke rumah, saya lebih gemar mengenakan seluar kerana dianggap lebih mudah untuk bergerak. Saya juga masih mengenakan tudung bawal dengan pelbagai jenis gaya pemakaian tudung yang telah saya pelajari sejak zaman persekolahan.
Setelah beberapa lama berada di institut tersebut, saya juga telah mendaftarkan diri untuk menjadi ahli kelab sebuah persatuan untuk pelajar Islam yang agak aktif di kampus. Pada mulanya, saya berniat untuk mengikutinya hanya disebabkan ramai rakan seangkatan yang mengikuti kelab tersebut di samping jaminan untuk terus tinggal di kolej kediaman.
Dalam masa yang sama, saya juga telah berkenalan dengan seorang lelaki yang juga belajar di tempat yang sama, tetapi berlainan jurusan. Pada mulanya kami hanya bertukar nombor telefon kerana hal tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah yang kebetulannya adalah sama. Lama- kelamaan masing-masing lalai dalam dunia cinta fantasi remaja yang menjanjikan kebahagiaan sementara. 
Selama beberapa bulan, kami bercinta sebelum nikah atau lebih dikenali sebagai “couple”, akhirnya hubungan kami berhenti setakat itu sahaja kerana perasaan bersalah akibat bercinta sebelum nikah. Sebelum membuat keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut, saya telah mendengar ceramah mengenai bercinta sebelum nikah yang dianjurkan oleh kelab dakwah di kampus saya. Saya kumpulkan seluruh kekuatan untuk melupakan cinta tersebut.
Setelah beberapa bulan hidup sebagai single, saya berkenalan pula dengan seorang lelaki yang boleh dikatakan agak wara’. Hal ini kerana lelaki tersebut mengambil aliran agama di sebuah institusi swasta yang berada di kampung halaman saya. Pada mulanya, saya berasa gembira kerana dipertemukan dengan seorang lelaki yang saya anggap mampu menjadi pembimbing saya mengenal Allah yang Esa. Pelbagai nasihat, teguran, peringatan yang dia berikan kepada saya menyebabkan saya semakin yakin untuk memiliki lelaki tersebut. Dipendekkan cerita, setelah setahun bercinta, akhirnya hubungan kami juga putus. Kali ini, saya berasa teramat kecewa kerana menganggap lelaki tersebut boleh menjadi suami saya dan mendidik saya menjadi seorang muslimah yang lebih baik.
Namun, apalah daya saya sebagai seorang hamba Allah yang kerdil ini untuk menolak takdir yang telah ditentukan oleh-Nya. Disebabkan terlalu kecewa, selama beberapa bulan, saya lebih banyak meminggirkan diri daripada bergaul dengan orang ramai. Saya lebih suka menyendiri dan melayani perasaan kecewa kerana gagal dalam percintaan untuk kali kedua. Rakan-rakan yang mengetahui kisah percintaan saya, banyak memberi nasihat dan dorongan untuk saya terus tabah dan sabar mengharungi dugaan yang telah Allah berikan kepada saya. Banyak kata-kata semangat saya terima.
Akhirnya saya nekad untuk tidak mahu bercinta sebelum nikah lagi. Dalam masa yang sama, saya juga cuba mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan doa, membaca Al-Quran, membaca pelbagai buku motivasi, melakukan aktiviti bersama rakan-rakan dan banyak lagi. Saya juga ada mengamalkan doa untuk orang yang putus cinta. Alhamdulillah, akhirnya sedikit sebanyak semua itu banyak membantu saya mendekatkan diri dengan Alllah. 
Dalam proses tersebut, saya pernah bermimpi bahawa saya memakai tudung labuh. Dalam masa yang sama, terdapat beberapa orang yang bercerita mengenai tudung labuh. Sebenarnya saya telah lama memasang niat untuk mengenakan tudung labuh iaitu sebelum saya menjalinkan hubungan dengan lelaki kedua. Namun, disebabkan saya bercouple, saya tangguhkan dahulu hasrat saya. Saya berjanji dengan diri saya untuk memakainya apabila saya berkahwin kelak. Namun, rancangan Allah s.w.t. lebih hebat dari segala-galanya. Melalui kekecewaan, Allah s.w.t. telah mempercepatkan hasrat saya untuk mengenakan tudung labuh. Sebelum mengenakan tudung labuh, saya pernah bertanya pendapat rakan-rakan mengenainya. Beberapa rakan yang rapat dengan saya, menyokong sepenuhnya hasrat saya. Pelbagai pendapat saya saya terima.
Saya juga ada meminta pendapat ibu saya mengenai hasrat tersebut. Ibu langsung tidak membantah bahkan menyatakan supaya saya memakainya kerana Allah s.w.t. Jika kita melakukan kerana Allah, InsyaAllah semua jalan yang akan ditempuh akan dibantu oleh Allah s.w.t. Dalam masa yang sama, saya banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah supaya Allah menolong saya dalam membuat keputusan. 
Akhirnya, setelah beberapa hari, saya dan ibu pergi ke pekan untuk membeli tudung labuh. Saya membeli tudung Rozella bidang 60. Dalam masa yang sama, saya juga telah membeli kain untuk dibuat tudung labuh yang berbentuk bulat seperti tudung yang biasa dipakai oleh pelajar sekolah agama. Rakan saya bersetuju untuk menjahit tudung tersebut untuk saya. Alhamdulillah, setelah memakai tudung tersebut, saya berasa sangat teruja dan hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Gembira yang teramat sangat dan saya tidak sanggup lagi untuk memakai tudung bawal. Saya sudah jatuh cinta dengan tudung labuh saya.
P/s: Kisah benar daripada seorang sahabat. Moga dapat dijadikan pengajaran. InsyaAllah~ ^_^



C.I.N.T.A

Bismillahirrahmanirrahim~
Assalamualaikum semua…
Alhamdulillah, hari nie ada lagi entry yang saya ingin kongsi bersama semua. Erm, cuba teka entry hari nie mengenai apa ye? ^_^
Anda tahu apa makna “cinta”? *wink* Antara isu yang paling hangat sekarang khususnya dalam kalangan remaja. Seperti saya juga. Saya juga remaja seperti anda. Pernah merasai apa yang dimaksudkan dengan cinta. Cinta di sini ialah cinta sesama manusia. Bila kita mencintai seseorang, kita akan sanggup melakukan apa sahaja untuk orang yang kita sayang. Betul kan?
Cuba kita dengar lagu-lagu yang dimainkan di corong radio, pasti tema lagu yang paling digemari adalah cinta. Betul kan? Macam-macam lagu cinta yang diperdengarkan. Ada lagu cinta yang happy, sedih, kecewa and so on. Lagu cinta apa yang kita paling suka? Mesti lagu yang sesuai dengan situasi kisah cinta kita kan? Kalau kita tengah happy, mesti kita suka layan lagu happy je. Kalau tengah sedih dan kecewa, lagu sedih dan kecewa lah yang kita layan. Tepuk dada, tanyalah hati.
Sebagai remaja, kita memang takkan terlepas dari merasai perasaan yang Allah anugerahkan pada kita. Cuba tanya siapa kat dunia ni yang tak pernah jatuh cinta? Mesti pernah kan? Kalau tak pernah, there’s something wrong *wink*. Setiap manusia dianugerahkan perasaan cinta kerana Pencipta manusia juga menciptakan manusia dengan CINTA.
Ok, berbalik kepada topik kita hari nie, “Cinta Antara Manusia”. Kita kecilkan lagi skop kita iaitu cinta antara lelaki dan perempuan yang sering diuar-uarkan dalam kalangan remaja masa kini (cinta sebelum akad atau bahasa paling mudah, couple). Pernah dengar kan ayat-ayat cinta seperti “I Love U”, “Saya Sayang Awak”, “Saya Tak Boleh Hidup Tanpa Awak”, “Saya Akan Lakukan Apa Sahaja Untuk Cinta Kita”, “Kita Takkan Berpisah Walau Apapun Yang Berlaku” dan banyak lagi. Walau apapun ayat-ayat cinta yang kita ungkapkan, sama ada kita sedar atau tidak, kita memberi harapan kepada pasangan kita. Harapan yang saya maksudkan kat sini ialah harapan kepada seseorang untuk menjadi pasangan kita.
Namun, cuba tanya diri kita dulu. Kita sudah bersedia dan mempersiapkan diri untuk menjadi zauj dan zaujah yang baik untuk pasangan kita? Tepuk dada, tanya iman. Andai masih belum sedia, cubalah persiapkan diri. Perbaiki diri dari semasa ke semasa. Saya juga berpesan kepada diri sendiri kerana saya juga tak sempurna. Let’s improve it, my dear friend!
Cinta itu tidak salah, kita yang salah jika tidak pandai mengawal diri. Bukan niat saya untuk mempromosikan cinta sebelum nikah tapi bagi yang sudah bercinta, bukan mudah untuk memutuskan perhubungan yang telah terjalin. Kalau kita sayang pasangan kita, kita mesti tak nak dia lalai dengan mengingati kita sepanjang masa kan? Sebenarnya kita tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, namun kerana sayang, kita sanggup ketepikan semua tu. Ya, perubahan memerlukan masa dan kesungguhan. Jika kita menginginkan zauj atau zaujah yang baik, kita sendiri perlu jadi baik. Jangan lupa doa dan tawakal jugak ye.. ngee~


Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada yang belum pernah bercinta. Allah s.w.t. sangat menyayangi anda. Allah telah mempersiapkan seseorang untuk menjadi pasangan anda. Jagalah hati anda dan sentiasa bersabar. InsyaAllah, permulaan yang yang baik akan berakhir dengan baik. Bagi yang putus cinta, bersabarlah kerana kekecewaan akan mengajar kita menjadi lebih matang. Mulakan hidup baru yang pastinya lebih baik dan ceria dengan CINTA ALLAH S.W.T.



(terjumpa video nie kat blog www.harithfaisal.blogspot.com )
p/s: suka sangat tengok video ni, ringkas tapi padat. ^_^ Wallahu'alam~